Hari Sabtu 25 April 2009, buat pertama kali aku menghadiri satu majlis perkahwinan di Negeri Johor. Sebenarnya, tempat berlangsung majlis perkahwinan itu adalah di rumah seseorang yang aku tak kenal. Cuma seorang kawan ajak menemani beliau ke majlis perkahwinan bekas kekasihnya terletak di Felda Adela dalam Daerah Pengerang. Biasanya kenduri adalah perkara biasa, tetapi olehkerana aku belum pernah berada di Negeri Johor, jadi majlis ini membuka mata kepada budaya orang Johor yang agak berbeza dengan tempat asal ku di Negeri Kedah.
Aku sampai sewaktu pengantin lelaki sampai. Aku terus ke kemah dimana hidangan di sediakan. Hidangan disediakan secara buffet. Biasalah, kerana di tempat aku pun hidangan untuk tetamu adalah secara buffet. Yang istimewa adalah kerana nasi beriani adalah menu, berbanding dengan nasi minyak atau nasi tomato di Utara.
Soal makan tak banyak berbeza, tetapi yang menarik kerana ada muzik mengiringi jamuan. Aku tidak perasan pun tentang siapa yang menyanyi. Sangkaku adalah rakaman dari pemain CD atau kaset, sebab suara penyanyi tu sedap. Rupanya yang menyanyi adalah penyanyi jemputan, tetapi mungkin orang tempatan saja. Sebabnya penyanyi tu tak glamour sangat, dan nampak mesra dengan ramai orang kampung tu. Penyanyi tu seorang perempuan, mungkin dalam lingkungan 50an, yang biasanya boleh dipanggil makcik.
Ini adalah sesuatu yang istimewa kerana jarang di Negeri Kedah ada penyanyi “live”. Lebih menarik lagi, penyanyi secara karaoke adalah dari kalangan yang berumur. Pakaian penyanyi bersahaja, dan penyanyi itu pun berduet dengan pasangan yang melampaui umur 50 tahun juga. Lagu yang dinyanyikan adalah lagu 60an.
Lebih menarik lagi apabila selesai menyanyi, penyanyi berkenaan turut serta mengemaskan meja tetamu selepas selesai menyanyi. Dia memainkan dua peranan, sebagai penyanyi dan juga sebagai ‘mentara’, istilah yang biasa aku gunakan untuk orang yang membantu mengemaskan dan menyediakan hidangan kepada tetamu.
Apa yang menarik tentang perkara ini? Menarik perhatian aku kerana dah lama di Kedah, amalan menyanyi sudah tidak ada. Entah semenjak zaman bila tidak pasti, tetapi ada pihak-pihak yang mengeluarkan hukum semua amalan menyanyi begitu dianggap tidak sesuai dengan Islam. Aku pun tidak belajar banyak tentang hukum ini, tetapi aku berpendapat hukum ini telah membantutkan kemeriahan majlis perkahwinan di Negeri Kedah. Pendapat ini tentu disanggah oleh ramai orang, tetapi itu adalah pendapat aku. Kalau orang lain ada pendapat lain, tidak ada masalah.
Semenjak aku terdedah kepada budaya di Johor, aku mempersoalkan kewajaran menyekat amalan menyanyi semasa majlis perkahwinan. Bahkan di Kedah, amalan bersanding pun sudah tiada kerana ada pihak membandingkan amalan tersebut dengan amalan Hindu. Banyak lagi sekatan yang tidak wajar, tetapi orangramai menerima tanpa banyak soal.
Aku berbeza dalam hal ini, kerana aku persoalkan kewajaran hukum itu. Atas asas apa dibuat fatwa begitu, dan kenapa orang islam di Kedah dan di Johor berbeza. Di harap dapatlah perkara ini dilihat dengan minda yang terbuka, dan tidak terikat dengan hukum-hakam yang menyekat kreativiti manusia, dan menjadikan kehidupan terlalu rigid. Bahkan banyak budaya Melayu mulai hilang apabila hukum hakam ini diperkenalkan. Lihat saja pada persembahan makyong, dan wayang kulit. Sudah mula menghilang dan sekarang ni anak muda mula mendapat hiburan daripada permainan video dan wayang.
Tujuan membangkitkan perkara ni adalah sekadar untuk difikirkan kembali, supaya satu masa nanti anak cucu kita mula persoalkan kebijaksanaan datuk nenek dalam menyekat perkembangan sihat kebudayaan melayu. Generasi akan datang tidak kenal apa wayang kulit, kuda kepang, zapin, ronggeng, makyong dan dikir barat. Kerana apa? Sebab ada fatwa bahawa kebudayaan itu tidak baik untuk orang Melayu. Fikir-fikirkanlah.
Menyanyi di Majlis Perkahwinan
BK Sunday, April 26, 2009 0 comments
Subscribe to:
Post Comments (RSS)
0 Responses to "Menyanyi di Majlis Perkahwinan"
Post a Comment