KISAH NORMAN AND ABBY

KISAH NORMAN AND ABBY

‘Norman melebihi batasan sebagai suami’

Rap


PERTEMUAN dengan Abby Abadi, 30, di The Curve, Damansara, petang Khamis lalu, berlangsung dalam suasana santai tanpa setitik air mata pun gugur dari kelopak matanya.
Wajahnya nampak lebih tenang dan ceria. Ibu kepada tiga cahaya mata itu sudah nekad untuk mengikis kenangan silam.

Selama tujuh tahun mendirikan rumah tangga dengan Norman Hakim, 32, suka duka silih berganti. Baginya, jika setakat itu saja jodoh di antara mereka, dia reda menerima ketentuan Yang Maha Esa.

Bukan bermakna dia tidak sayang kan rumah tangga yang dibina, namun dugaan yang datang terlalu berat untuk dipikul. Hati isteri mana tidak terusik jika si suami sentiasa melebihkan wanita lain daripadanya.

Melihat susuk tubuhya yang kembali langsing walhal baru sebulan lebih melahirkan anak ketiganya, Maria Danisha Hakim, jelas Abby, dia tidak berasa hendak makan nasi.

“Sebelum ini selepas melahirkan Danish (Mohamed Danish Hakim, 5) dan Marissa (Marissa Dania Hakim, 3) memang susah hendak kurus.

“Waktu itu hidup saya masih bahagia dan makan pun berselera. Namun dengan apa terjadi sekarang menghilangkan selera makan saya,” katanya.

Bagaimanapun, kata Abby, dia tidaklah terlalu memikirkan mengenai kes tangkap khalwat suaminya dengan pelakon baru, Suhaiza Suhaimi atau dikenali sebagai Memey, 20.

“Perkara itu biar mereka yang selesaikan. Yang lebih penting sekarang saya perlu fikirkan diri sendiri dan anak. Selama ini apabila saya bertanya mengenai hubungannya dengan perempuan lain, Norman selalu menafikannya. Sekarang dengan kes tangkap khalwatnya, segala-galanya sudah jelas.

“Jika dia tidak mahukan saya lagi, ‘lepaskan’ saya dengan cara baik. Jangan memburuk-burukkan saya lagi. Cukuplah dengan apa yang berlaku. Baru-baru ini dia mengirim SMS memujuk saya berbaik semula.

Antara kata pujukannya pada saya, jika mahu berbaik semula, apa saja saya minta dia akan berikan, termasuk membelikan ‘ Kota London ’ untuk saya. Segala impian dan harapan saya sudah musnah, tidak perlu dia memujuk saya lagi,” katanya.

Tangkap khalwat yang berlaku 30 Oktober lalu bukan kes pertama yang memporak-perandakan rumah tangga mereka. Pada Mei 2006 pasangan popular ini bercerai sekejap gara-gara kehadiran ‘orang ketiga’. Namun waktu itu Abby sanggup mempertahankan rumah tangganya kerana kasihnya pada Norman begitu menebal.

Bagaimanapun, kejadian kedua menutup terus pintu kasihnya kepada jejaka berasal dari Kuantan, Pahang itu.

“Mungkin ada yang bertanya kenapa saya sanggup mempertahankan rumah tangga saya yang pernah bergelora dua tahun lalu. Waktu itu saya terlalu kasihkan Norman dan dengan harapan apa yang terjadi tidak berulang.

“Namun selepas itu saya tengok tidak banyak yang berubah dan kebanyakan perbuatan Norman hanya melukakan hati. Saya masih sayang kan rumah tangga dan bukan senang seorang wanita ingin mengambil keputusan hendak bercerai melainkan apa yang berlaku sangat melukakan hatinya.

“Selepas kes khalwat itu, Norman langsung tidak bertanya khabar mengenai anak. Percakapan Norman tidak seiring dengan perbuatannya.

“Danish sudah boleh membaca dan dia bertanya saya kenapa papa kena tangkap. Saya jawab dalam nada bergurau, ‘papa jahat’.

“Biasanya waktu lapang saya akan membaca akhbar bersama Danish tetapi sejak kes itu berlaku, saya tidak sempat memantau bahan bacaannya,” katanya.

Satu ketika dulu, kata Abby, Norman bolehlah memperbodohkan dirinya. Sekarang tidak lagi. Abby juga membalas kenyataan Norman yang mengatakannya garang.

“Mestilah saya marah kalau dia selalu sangat buat perangai. Selepas kejadian itu saya pergi berjumpa dengannya kerana kasihan, tetapi dia masih ‘berani’ minta saya ‘tolong selamatkan dia dan Memey’. Cuba bayangkan perasaan saya ketika itu.

“Saya juga tidak pernah terlintas hendak menyerang sesiapa, tetapi kenyataannya ketika berjumpa di lokasi Gerak Khas itu menggugat kesabaran saya. Itupun saya datang cara baik. Hanya selepas dia asyik menyebelahi perempuan itu (Memey) baru saya ‘naik angin’.

“Waktu kes pertama dulu, hanya saya tahu apa yang berlaku tetapi tidak boleh cerita kerana ia membabitkan maruah. Ia bukan tuduhan, tetapi kenyataan.

“Dalam hidup berumah tangga, sepatutnya masing-masing tahu batas dan tanggungjawab, tetapi nampaknya Norman melebihi batasan yang sepatutnya sebagai suami.

“Saya berhati-hati menguruskan rumah tangga supaya perkara buruk tidak berlaku lagi, tetapi jadi juga. Dia terlalu leka dengan dunia luar daripada keluarga sendiri.

“Sehingga pada satu peringkat, saya tidak boleh menerimanya lagi. Sebenarnya saya tidak mahu menangis lagi kerana tidak berbaloi langsung.

“Namun air mata ini gugur juga dengan apa yang berlaku kerana saya tidak mampu menipu diri yang saya masih sayang kan dia. Dia juga adalah bapa kepada anak saya.

“Kepada sesiapa, tolong sedarkan Norman kerana saya tengok dia sekarang bukan diri dia lagi. Apa yang berlaku sangat berat untuk ditelan kerana saya menggantung harapan terlalu tinggi terhadap rumah tangga kami. Kini semuanya hancur.

“Jika dulu yang berat sama dipikul dan ringan sama dijinjing, kini pikullah beban masing-masing. Saya tahu punca pendapatan dia yang mengharapkan kepada berlakon saja dan dia ada banyak tanggungan. Saya juga tidak mahu ambil tahu lagi mengenai syarikat yang kami usahakan bersama.

“Walaupun Norman berkeras tidak mahu ceraikan saya, saya akan pastikan saya memenangi kes perceraian itu. Buat masa ini saya tidak mahu menggunakan khidmat peguam kerana kosnya tinggi. Saya mencari rezeki untuk anak dan tidak boleh membazir begitu saja.

“Saya mahu rakyat negara ini mengadili kes kami. Apabila keadaan terlalu mendesak, baru saya akan fikir menggunakan khidmat peguam atau tidak.

“Apa juga perkongsian saya dengan Norman selama kami menjadi suami isteri, saya akan tuntut semuanya, termasuk syer syarikat.

“Kes tangkap khalwat itu sangat memalukan saya kerana dia suami saya,” katanya.

Abby tidak nafikan emosinya terganggu mengingatkan semua yang berlaku dan sedikit sebanyak menjejaskan tumpuannya di lokasi penggambaran drama. Namun pengarah mengerti hatinya dan memberi kerjasama kepadanya.

Seperti kenyataan Penerbit Skop Productions, Datuk Yusof Haslam, yang sudi menerima kehadiran Abby dalam drama Gerak Khas, Abby juga tidak keberatan untuk kembali beraksi dalam drama kepolisan itu.

“Saya boleh berlakon dengan sesiapa saja dalam Gerak Khas, termasuk Norman (yang memegang watak Inspektor Haris) tetapi sanggupkah dia berdepan dengan saya,” katanya.

Barangkali ada yang berkata, tidak mustahil satu hari nanti itu mereka berbaik semula demi anak. Namun jelas Abby, tidak mungkin dia kembali semula ke pangkuan Norman .

Pinta Abby kepada Allah SWT, kuatkan hatinya berdepan segala kemungkinan yang bakal terjadi pada masa depan dan pada Norman , jangan risau pasal anak.

Abby juga menitipkan pesanan buat Norman yang dia tidak dapat lagi menghulurkan tangan untuk membantu suaminya.

Abang angkat, adik angkat

CAK: Abang angkat, adik angkat?

Menariknya, artis lain sibuk ambil anak angkat tetapi Norman pulak ambil adik angkat. Anak dara cantik pulak itu yang dipilih menjadi adik angkatnya.

CAK tak mahulah membabitkan orang lain dalam kemelut rumah tangga Norman , Abby dan Memey tetapi menurut sumber CAK, ibu bapa Norman sendiri tahu hubungan antara ‘abang dan adik angkat’ itu.

Walaupun Norman buat-buat tak tahu tetapi ramai yang tahu Memey sudah lapan bulan ‘berumah tangga’ kat ofis Norman yang terletak di Ukay Perdana. Ini kerana ramai ternampak kereta Memey selalu sangat 'tersadai' kat situ.

Kononnya Memey terpaksa menginap di ofis itu kerana dia dalam proses mencari rumah baru. Untuk sementara waktu ini, terpaksalah dia tinggal di situ.

Tetapi yang CAK musykilkan, kat Kuala Lumpur ini berlambak-lambak rumah. Yang masih dalam pembinaan pun tidak terbilang dengan jari. Hendak duduk kat kawasan mana, cakap aje.

Rumah yang ada kolam, tak ada kolam, semua ada. Boleh pilih rumah pangsa, town house, kondo, rumah teres atau banglo, bila-bila masa boleh dapat. Takkan lama sangat hendak cari rumah sewa atau pun Memey ini memang cerewet sangat kot.

Seperkara lagi, kalau benarlah Memey itu adik angkat Norman kenapa Norman tidak mempelawanya duduk di rumahnya saja. Ada juga Abby kawan bila Norman sibuk di lokasi penggambaran. Malaslah CAK hendak fikirkan mengenai kisah abang dan adik ini kerana mereka berdua sudahpun 'terangkat'.

Sekarang CAK dengar Norman bersedia untuk memperisterikan Memey pulak. Memang pelik sebab selama ini mereka menafikan mempunyai hubungan istimewa. Oleh itu beberapa kenyataan dikeluarkan Norman selepas kes tangkap basah itu sangat diragui kerana bagi CAK bukan senang kita hendak membuat keputusan berkahwin jika tidak pernah kenal rapat sebelum ini.

................................................................................................................................

SEMUANYA kerana gara-gara penangkapan Norman Hakim, 32, dengan Memey Suhaiza Suhaimi, 20, pada 30 Oktober lalu. Mereka berdua dituduh berkhalwat dan ini membawa kepada kemuncak konflik rumahtangga Abby Abadi dan Norman .

Peristiwa yang berlaku ke atas Norman atau Mohamed Norhakim Zaidon kira-kira pukul 3 pagi itu menyebabkan peminat mula memberi pelbagai reaksi terhadap pelakon tersebut.

Malah hingga hari ini peminat mula bersimpati dengan Abby Abadi, 30. Tambahan pula ini berlaku pada saat Abby baru melahirkan anak ketiga, Maria Danisha Hakim yang lahir pada 17 September lalu.

Rumah tangga Norman dan Abby atau nama sebenarnya Arbaeyah Abdul Manan kelihatan sukar untuk diselamatkan lagi. Ini kerana Abby pernah berkata, dia sudah lama menanggung derita. Dia sudah lama menelan segala pahit di dalam rumah tangganya.

Malah ketika sedang mengandungkan anak ketiga itu, rumah tangga mereka sudah bergoyang. Tetapi masing-masing cuba mempertahankannya.

Tragedi “perpisahan” pertama kali dulu pada 5 Mei 2006 tetapi merujuk kembali beberapa hari kemudian rupa-rupanya tidak menjadi satu pengajaran. Keretakan berulang semula.

Demikianlah bak kata orang gelora rumah tangga memang sukar untuk dijangka. Ibarat air di lautan yang ada pasang dan surutnya.

Tetapi kali ini gelora rumah tangga Abby dan Norman sudah sampai di kemuncaknya. Abby juga mengakui dia malas untuk memikirkan mengenai suaminya lagi.

Hati Abby benar-benar hancur disebalik peristiwa penangkapan itu, Norman tidak hanya meminta Abby menyelamatkannya tetapi meminta untuk sama menyelamatkan Memey.

“Saya sedih bila dia suruh saya selamatkan dia dan perempuan itu (Memey). Ini yang saya tak boleh terima. Saya jumpa dia sebab ingat dia sudah menyesal,” kata Abby.

Ungkapan Norman itu membuatkan Abby tertanya-tanya mungkin ada sesuatu hubungan di antara Norman dan Memey selama ini. Sudah tidak mampu untuk memulihkan lagi kelukaan hati, akhirnya pada 3 November lalu Abby membuat keputusan muktamad untuk berpisah dengan Norman .

Abby datang seorang diri kira-kira pukul 11 pagi di Mahkamah Rendah Syariah Daerah Gombak Timur untuk mengemukakan tuntutan fasakh ke atas Norman . Tapi sayang , permohonannya terpaksa ditolak kerana tiada dokumen penting yang dibawa bersama.

“Saya sudah berfikir panjang dan inilah cara terbaik menyelesaikan masalah rumah tangga saya. Sudah tak nampak ada jalan yang akan memulihkan hubungan kami,” kata Abby.

Kesukaran untuk memohon fasakh itu menyebabkan Abby terpaksa menjejaki suaminya ke lokasi. Selama ini sukar mencari di mana Norman Hakim pergi kerana suaminya itu dikatakan sudah lama tidak pulang ke rumah.

Bagi Abby tiada cara lain untuk mendapatkan segala dokumen seperti salinan kad pengenalan dan sijil nikah mereka melainkan dengan mencari Norman di lokasi penggambaran Gerak Khas.

Pada pagi itu, Abby bersama sekumpulan wartawan sama-sama menjejaki suaminya yang ketika itu sedang melakukan penggambaran drama di sebatang jalan raya belakang pusat membeli belah, Carefour, Wangsa Maju, Kuala Lumpur .

Ketika mahu menjejaki Norman itu, saya bersama dua rakan wartawan menaiki kereta bersama Abby sementara wartawan yang lain mengekori di belakang. Ketika di dalam perjalanan yang jauhnya kira-kira enam kilometer, Abby meluahkan banyak perkara.

Dalam rancangan Wanita Hari Ini pada Khamis lalu, Abby mengakui antara kelemahan dia ialah tidak dapat mengawal emosi. Tetapi kata Abby jika seseorang suami itu terlalu banyak buat kesalahan, mana mungkin semua perempuan itu dapat bertahan.

Malah Abby juga menolak dakwaan dia mengongkong Norman selama ini sebaliknya pernah menjejaki Norman sehingga ke Beranang, Selangor dan beberapa lokasi penggambaran lain kerana Norman jarang pulang ke rumah.

Sementara Norman pula mengakui dia bersedia untuk menerima Memey sebagai isterinya yang kedua jika itu yang ditakdirkan Tuhan.

Pun begitu Norman masih menyayangi Abby dan sentiasa berdoa supaya Allah tidak memisahkan hubungan mereka itu.

Selain Maria Danisha Hakim, Norman dan Abby turut dikurniakan dua orang lagi anak hasil perkahwinan mereka yang dibina selama enam tahun iaitu Mohd. Danish Hakim,5, dan Marisa Dania Hakim,2.

Menurut Norman, apa yang menyebabkan dia tidak mahu berpisah kerana ada anak-anak yang menjadi ikatan kepada kasih sayang keluarga.

”Anak-anak tak bersalah. Sebaliknya ibu bapa yang salah,” kata Norman . Apa akan jadi dengan masalah rumah tangga Abby dan Norman ini? Di manakah noktah terhadap kemelut yang melanda?

Yang lebih penting pasangan ini haruslah mencari jalan untuk memastikan kisah rumah tangga mereka yang ibarat drama sebabak ini dapat diatasi dengan baik.

Sebagai orang yang mengakui dirinya agak emosi, Abby haruslah mencari pendekatan untuk tidak mendedahkan segala yang berlaku di dalam rumah tangga mereka.

Selagi tidak diputuskan mahkamah mereka sudah berpisah, Abby dan Norman masih lagi sah menjadi suami isteri. Mereka perlu bijak menangani kes ini dengan sebaik mungkin.

Sama-samalah kita berdoa agar Norman dan Abby diberi jalan dan petunjuk untuk menyelesaikan kemelut yang melanda agar keadaan tidak terus menjadi parah.

Berikut ini rentetan drama sebabak yang berlaku dalam adegan Abby “menyerang” Norman di lokasi pada 3 November lalu.

- 10.30 pagi - Abby tiba di Mahkamah Rendah Syariah Daerah Gombak berbaju kurung. Beliau hadir seorang diri. Abby mengambil masa kira-kira 15 minit sebelum turun dari kereta untuk ke kaunter mahkamah.

- 11.05 pagi - Abby menjelaskan, pihak mahkamah tidak dapat menerima tuntutan fasakh kerana dokumen yang diperlukan seperti salinan kad pengenalan suaminya dan sijil nikah mereka tidak dibawa. Abby harus mencari Norman kerana dokumen itu dipegang oleh suaminya.

- 11.30 pagi - Abby memandu keretanya menuju ke belakang Carefour Wangsa Maju dimana lokasi penggambaran drama Gerak Khas sedang berlangsung.

Ketika di dalam kereta, Abby berkata dia mendapat banyak laporan Memey Suhaiza sudah lama tinggal di pejabat Norman Hakim di Ukay Perdana, Ampang.

Abby juga merungut kenapa dia dikaitkan sebagai dalang insiden penangkapan itu.

“Saya ada telefon perempuan itu (Memey). Dia ada jawab tapi cara dia bercakap macam tak ada rasa bersalah mempunyai hubungan dengan suami orang. Memey kata dia nak buat macam mana benda dah jadi?”

“Saya dah simpan niat nak berpisah dengan dia. Saya sudah nekad dengan keputusan ini”.

- 11.45 pagi - Abby dan “rombongan” yang terdiri kira-kira 20 orang wartawan tiba di lokasi pengambaran Gerak Khas. Saya minta Abby menyerahkan dokumen daripada mahkamah secara baik kepada Norman dan kami wartawan akan ikut dia dari belakang.

- 11.55 pagi - Norman yang berada di dalam kereta Pajero bercermin gelap lengkap memakai uniform pegawai polis keluar dari kenderaan. Norman meminta izin untuk menukar uniform sebelum bertemu wartawan.

- 12.00 tengah hari - Saya memberitahu Norman , Abby hendak bercakap sesuatu kepadanya. Lantas Abby menghulurkan dokumen tuntutan fasakh. Norman menarik Abby ke satu kawasan teduh. Dan Norman tidak berkata apa-apa. Dia terpaku selepas melihat dan membaca dokumen itu.

- 12.05 tengahari - Norman menitiskan air matanya. Lalu “membawa” diri ke satu kawasan lapang kira-kira 100 meter diri lokasi penggambaran Gerak Khas berlangsung. Abby kemudian diminta wartawan mendekati Norman dan berunding secara baik.

- 12.30 tengahari - Produser Datuk Yusof Haslam tiba selepas dimaklumkan oleh krew kekecohan yang berlaku itu.

- 12.30 tengahari - Norman datang semula ke tempat di lokasi penggambaran filem tersebut dan bercakap kepada wartawan bagi menjelaskan keadaan.

- 12.45 tengahari - Ketika membuat kenyataan dia terpaksa menjaga hati banyak pihak termasuk keluarga Memey Suhaiza, Abby yang berada tidak jauh dari Norman terus menempelak. “Tak habis-habis dengan Memey. Asyik-asyik perempuan... asyik-asyik perempuan.” Keadaan menjadi bertambah tegang.

- 1.00 petang - Apabila keadaan menjadi kecoh, Norman terus melarikan diri. Di hujung lokasi itu terdapat sebuah kereta seorang krew sedang menunggu untuk membawa Norman pergi dari situ.

- 1.05 petang - Saya bersama wartawan Saharudin Musthafa dan Tengku Khalidah mengejar Norman untuk menasihati dia beredar bagi mengelakkan keadaan menjadi kecoh. Kami merasakan agak malu melihat adegan suami isteri bergaduh di depan orang ramai.

Ketika di dalam kereta, Norman membuka cermin kereta tersebut sambil meminta maaf dan mencium tangan kami. Kata Norman macam mana dia nak balik rumah kalau Abby tak habis-habis menyerangnya. “Sekarang boleh tengok sendiri. Dia serang saya macam tu. Kata saya macam-macam. Macam mana saya nak balik,” luah Norman sambil menangis teresak-esak. Ada juga beberapa perkataan yang diluah Norman tetapi dia minta untuk tidak ditulis.

- 1.15 petang - Abby, Datuk Yusof Haslam dan wartawan beredar dari lokasi. Sebelum balik Abby sempat memeluk beberapa wartawan wanita dan meminta maaf dengan kejadian itu.

- 1.30 petang - Norman menghantar SMS melalui Saharudin Musthafa dan meminta maaf kepada semua wartawan kerana tidak dapat memberi kerjasama kerana insiden “serangan” itu yang semakin tegang.

"Sementara Norman pula mengakui dia bersedia untuk menerima Memey sebagai isterinya yang kedua jika itu yang ditakdirkan Tuhan" ayat ni mengambarkan norman memeng gilankan mimie ni.

"Tak pernah restu mereka kahwin"

KOTA TINGGI - Keluarga Memey Suhaiza Abdul Rahman (gambar) menegaskan, mereka tidak pernah merestui perkahwinan pelakon baru itu dengan Norman Hakim.

Ibunya, Norlela Abdul Rahman, 44, memberitahu Kosmo! Ahad, beliau benar-benar terkilan dan sedih dengan laporan sebuah akhbar semalam mengenai perkahwinan itu.

"Wartawan akhbar itu mengasak bapa Memey, dan bertanya jika Norman dan Memey bernikah adakah pak cik merestuinya.

"Jadi pak cik kata jika ada jodoh dia terima tetapi kami tidak kata kami merestui perhubungan itu," katanya ketika ditemui di Teluk Sengat di sini semalam.

Menurut akhbar tersebut, bapa Memey, Suhaimi Sarwani, 45, dilaporkan merestui perkahwinan tersebut asalkan Memey gembira dan bahagia bersama pasangannya.

Norlela yang enggan gambarnya diambil bimbang laporan tersebut akan menyebabkan orang ramai termasuk orang kampung di Felda Tenggaruh 1, Kota Tinggi membuat tanggapan negatif terhadap Memey dan keluarganya.

Pada 30 Oktober lalu, Memey, 20 bersama pelakon, Mohamed Norhakim Zaidon atau lebih dikenali Norman Hakim, 32, dicekup pihak berkuasa atas tuduhan berkhalwat di sebuah premis perniagaan di Ukay Perdana, Hulu Klang menyebabkan rumah tangga pelakon siri Gerak Khas itu kini bergolak.

Pada masa sama, kata Norlela, keluarganya menyerahkan kes tersebut kepada mahkamah untuk memutuskannya.

"Apabila diberitahu oleh Memey tentang kejadian itu, Auntie tidak memarahinya malah memberi sokongan agar tabah menghadapi cabaran hidup sebagai artis.

"Kami sekeluarga sudah cukup tertekan dengan liputan media setiap hari," katanya.

0 Responses to "KISAH NORMAN AND ABBY"