Kalaulah anda diletakkan sebagai hakim untuk membuat keputusan samada sesuatu itu BENAR atau SALAH, bagaimana cara untuk membuat keputusan anda? Secara mudah, sesorang yang beragama Islam akan mengatakan kembalilah kepada hukum ALLAH dengan merujuk kepada ALQURAN dan Hadis. Kalau seseorang yang arif dengan undang-undang akan berkata rujuklah kepada UNDANG-UNDANG samada perlembagaannya, atau Akta yang berkaitan, atau 'precedent' bagi kes yang sama. Tetapi, kenapa masih berlaku kecelaruan dan mahkamah dilihat tidak berlaku ADIL, atau pun keputusan mahkamah masih boleh dipersoalkan?
Mudah untuk kita bercakap. Sebagai seorang yang bukan ahli undang-undang terpaksalah menaruh harapan kepada yang Arif dalam hal yang berkaitan. Tetapi mengapakah di Malaysia banyak perkara yang mudah menjadi susah. Isu yang berkaitan dengan ambilalih kuasa di Negeri Perak, sebagai contoh boleh dianggap sesuatu yang mudah diselesaikan, sebaliknya menjadi begitu rumit. Begitu juga dengan kes pembunuhan Altantuya -- pembunuh sudah dikenalpasti, cuma motif pembunuhan kurang jelas. Bagitu juga dengan kes Video Lingam. Banyak kes-kes yang nampak mudah, tetapi menjadi begitu susah untuk dilihat berlaku adil. Di sinilah timbulnya kesangsian tentang kebijakan Hakim dalam membuat keputusan BENAR atau SALAH.
Olehkerana penulis bukannya seorang yang arif dalam undang-undang, penulis tidak akan melihat dari perspektif cendekiawan, sebaliknya melihat dari perspektif orang biasa sahaja. Lagipun, semakin dikaji secara mendalam, undang-undang manusia sebenarnya cuba disesuaikan mengikut pihak-pihak yang berkuasa. Pada pendapat penulis, cendekiawan dalam bidang undang menjadi punca kecelaruan dan sifat berbelit-belit seperti ular. Sepatutnya, undang-undang boleh dipermudahkan selagi prinsip keadilan dipatuhi.
Apakah panduan dalam membuat penilaian MUDAH - BETUL atau SALAH?
Untuk berlaku adil apabila terlalu banyak kekeliruan, tanya seramai yang mungkin. Bila disebut ramai, siapa yang kita perlu pilih? Pilihlah mereka yang arif tetapi seramai yang mungkin kerana jika 5 dari 9 orang membuat keputusan BENAR, maka 5 yang arif memilih jawapan BENAR dan 4 memilih SALAH. Masih lagi ada keraguan tetapi, 9 orang telah bersidang tentulah pihak yang berkuasa dan kaya tidak mampu untuk membeli kesemua sembilan orang, tetapi mungkin masih mampu menyogok kepada 5 orang sahaja. Jika jumlah ini masih meragukan, dapatkan lagi tiga orang, dan untuk menyogok 7 orang hakim memerlukan kos yang besar dan agak sukar untuk dilaksanakan.
Olehsebab itu, sistem kehakiman di Malaysia perlu mengembalikan sistem 'trial by jury' supaya mahkamah tidak dilihat berlaku TIDAK adil. Kalau tidak dilaksanakan "TRIAL BY JURY", letakkan lebih ramai hakim dan keputusan hakim perlu diterima oleh semua pihak, dan mereka perlulah bebas dari sebarang tekanan dalam membuat keputusan.
Penyelesaian inilah yang terbaik pada masa ini untuk memulihkan sistem kehakiman di Malaysia, itu pun kalau pemerintah inginkannya. Jika tidak ingin, kerana boleh melindungi yang korup dan menganiayai yang tidak berkuasa, maka kita tidak pilihan lain. Sebagai rakyat Malaysia kita perlu pilih pemimpin lain, iaitu pemimpin yang ingin berlaku adil kepada rakyatnya.
MENILAI BETUL atau SALAH
kehakiman, sosial, UNDANG-UNDANG BK Sunday, April 26, 2009 0 comments
Menyanyi di Majlis Perkahwinan
Hari Sabtu 25 April 2009, buat pertama kali aku menghadiri satu majlis perkahwinan di Negeri Johor. Sebenarnya, tempat berlangsung majlis perkahwinan itu adalah di rumah seseorang yang aku tak kenal. Cuma seorang kawan ajak menemani beliau ke majlis perkahwinan bekas kekasihnya terletak di Felda Adela dalam Daerah Pengerang. Biasanya kenduri adalah perkara biasa, tetapi olehkerana aku belum pernah berada di Negeri Johor, jadi majlis ini membuka mata kepada budaya orang Johor yang agak berbeza dengan tempat asal ku di Negeri Kedah.
Aku sampai sewaktu pengantin lelaki sampai. Aku terus ke kemah dimana hidangan di sediakan. Hidangan disediakan secara buffet. Biasalah, kerana di tempat aku pun hidangan untuk tetamu adalah secara buffet. Yang istimewa adalah kerana nasi beriani adalah menu, berbanding dengan nasi minyak atau nasi tomato di Utara.
Soal makan tak banyak berbeza, tetapi yang menarik kerana ada muzik mengiringi jamuan. Aku tidak perasan pun tentang siapa yang menyanyi. Sangkaku adalah rakaman dari pemain CD atau kaset, sebab suara penyanyi tu sedap. Rupanya yang menyanyi adalah penyanyi jemputan, tetapi mungkin orang tempatan saja. Sebabnya penyanyi tu tak glamour sangat, dan nampak mesra dengan ramai orang kampung tu. Penyanyi tu seorang perempuan, mungkin dalam lingkungan 50an, yang biasanya boleh dipanggil makcik.
Ini adalah sesuatu yang istimewa kerana jarang di Negeri Kedah ada penyanyi “live”. Lebih menarik lagi, penyanyi secara karaoke adalah dari kalangan yang berumur. Pakaian penyanyi bersahaja, dan penyanyi itu pun berduet dengan pasangan yang melampaui umur 50 tahun juga. Lagu yang dinyanyikan adalah lagu 60an.
Lebih menarik lagi apabila selesai menyanyi, penyanyi berkenaan turut serta mengemaskan meja tetamu selepas selesai menyanyi. Dia memainkan dua peranan, sebagai penyanyi dan juga sebagai ‘mentara’, istilah yang biasa aku gunakan untuk orang yang membantu mengemaskan dan menyediakan hidangan kepada tetamu.
Apa yang menarik tentang perkara ini? Menarik perhatian aku kerana dah lama di Kedah, amalan menyanyi sudah tidak ada. Entah semenjak zaman bila tidak pasti, tetapi ada pihak-pihak yang mengeluarkan hukum semua amalan menyanyi begitu dianggap tidak sesuai dengan Islam. Aku pun tidak belajar banyak tentang hukum ini, tetapi aku berpendapat hukum ini telah membantutkan kemeriahan majlis perkahwinan di Negeri Kedah. Pendapat ini tentu disanggah oleh ramai orang, tetapi itu adalah pendapat aku. Kalau orang lain ada pendapat lain, tidak ada masalah.
Semenjak aku terdedah kepada budaya di Johor, aku mempersoalkan kewajaran menyekat amalan menyanyi semasa majlis perkahwinan. Bahkan di Kedah, amalan bersanding pun sudah tiada kerana ada pihak membandingkan amalan tersebut dengan amalan Hindu. Banyak lagi sekatan yang tidak wajar, tetapi orangramai menerima tanpa banyak soal.
Aku berbeza dalam hal ini, kerana aku persoalkan kewajaran hukum itu. Atas asas apa dibuat fatwa begitu, dan kenapa orang islam di Kedah dan di Johor berbeza. Di harap dapatlah perkara ini dilihat dengan minda yang terbuka, dan tidak terikat dengan hukum-hakam yang menyekat kreativiti manusia, dan menjadikan kehidupan terlalu rigid. Bahkan banyak budaya Melayu mulai hilang apabila hukum hakam ini diperkenalkan. Lihat saja pada persembahan makyong, dan wayang kulit. Sudah mula menghilang dan sekarang ni anak muda mula mendapat hiburan daripada permainan video dan wayang.
Tujuan membangkitkan perkara ni adalah sekadar untuk difikirkan kembali, supaya satu masa nanti anak cucu kita mula persoalkan kebijaksanaan datuk nenek dalam menyekat perkembangan sihat kebudayaan melayu. Generasi akan datang tidak kenal apa wayang kulit, kuda kepang, zapin, ronggeng, makyong dan dikir barat. Kerana apa? Sebab ada fatwa bahawa kebudayaan itu tidak baik untuk orang Melayu. Fikir-fikirkanlah.
BK 0 comments
CHE DET TAK FAHAM ORANG MUDA
Dalam blog CheDet (http://chedet.co.cc/chedetblog/2009/04/the-generation-gap.html#more), Tun Mahathir kata generasi muda tidak memahami erti kemerdekaan, diperintah oleh Orang Kita dan bukan orang Asing. Beliau menyalahkan pendidikan sejarah di sekolah yang gagal memberikan kesedaran kepada generasi muda.
Olehkerana aku lahir pasca 1957, aku ni generasi muda walaupun umur dah hampir separuh abad. Memangnya aku tidak pernah berada di bawah pemerintahan Inggeris, dan tidak berada di zaman perang. Tetapi aku masih ingat kacaubilau tahun 69. Aku ingat zaman Tun Razak yang menyemarakkan perpaduan. Masa tu juga banyak bentuk kemakmuran melalui bantuan pertanian, dan biasiswa pun dah mula diberikan kepada rakyat. Zaman tu juga banyak sekolah-sekolah asrama penuh yang melahirkan ramai cerdik pandai terutamanya di kalangan orang melayu. Kemudahan-kemudahan prasarana pun ditingkatkan. Jadi, sejarah yang aku lalui tidak perlu pergi jauh sebaliknya zaman pembangunan dan pemulihan ekonomi.
Bermula era Mahathir, pada mulanya terasa gah kerana Dasar Pandang Ke Timur, Bersih Cekap dan Amanah dan kemudiannya timbullah penswastaan. Pembangunan pun memang hebat tetapi masa tu dah banyak berlaku percakaran politik. Di pihak UMNO, Mahathir dengan Ku Li kemudian Mahathir dan Musa Hitam. Kemudian berlaku pula pembunuhan Memali dan seterusnya Pemilihan UMNO 1987 yang menyebabkan perpecahan dalam UMNO, maka timbul pula Semangat 46.
Apabila Tun Salleh Abbas di pecat, sekali lagi berlaku tragedi dalam pentadbiran negara kerana Cabang Kehahiman telah di kembirikan. Masa itu, aku yang masih di awal dua puluhan dah mula rasa seperti dijajah, bukan oleh orang asing tetapi oleh UMNO. Sungguh pun ada keistimewaan, kerana boleh bekerja dan ekonomi yang baik tetapi merasa diri ini dijajah. Minda dibodohkan dengan media, dan orang-orang UMNO berlagak macam Malaysia ni dia orang punya. Rakyat biasa hanya menerima apa yang ada, digula-gulakan dengan kehidupan biasa, dan kononnya negara ini aman.
Bagi orang yang pernah berada di England, Amerika, Australia tentulah tidak boleh dibodohkan dengan propaganda UMNO, kerana telah melihat erti kebebasan bersuara di negara-negara itu. Tetapi bila balik di Malaysia media dikudakan. Segala media kerajaan di Malaysia boleh bercakap tentang keamanan, kestabilan ekonomi, dan pembangunan tetapi Minda diikat. Untuk bercakap songsang daripada pemimpin BN bererti menentang. Tambahan pula bila kita lihat mahkamah-mahkamah dan Polis digunakan untuk menjaga kepentingan UMNO dan Barisan Nasional. Generasi muda kecewa, fasal kebebasan yang diinginkan seperti yang dilalui di negara maju tidak boleh dicapai. Dengan adanya ISA, AUKU, Akta Rahsia Rasmi, dan pelbagai lagi Akta yang menggerunkan terasa bahawa Malaysia ni macam negara ketiga di Afrika. Baru-baru ini Suruhanjaya Pilihanraya pula bercakap seperti pihak UMNO dan BN. Sebagai rakyat, perasaan benci meluap dan lama-kelamaan akan diterjemahkan sebagai undi untuk memilih pembangkang.
Selain daripada undang-undang itu, banyak bentuk penyalahgunaan kuasa dan pembaziran wang negara berlaku. Aku tak boleh tahu apa yang betul atau salah. Tetapi bila di sebut skandal BMF, 'bail out utk MISC', PERWAJA, MAS, dan banyak lagi mula timbul tandatanya -- apa sebenar yang berlaku. Jawapan samar-samar dan mengelirukan. Bila timbul pula kes pembunuhan Mustakizah, apa sebenarnya berlaku? Bila banyak sangat timbul tentang Altantuya, kami ingin cari kebenaran. Semua ini menjurus kepada kekeliruan dan keraguan. Kredibiliti pemimpin masa itu dipersoalkan.
Seterusnya kuasa raja-raja pun dikurangkan. Masa tu, sebagai rakyat memanglah seronok sebab kita rasakan kuasa dikembalikan kepada rakyat tetapi lama kelamaan baru menyedari bahawa kuasa itu sebenarnya adalah untuk PM dan pemimpin-pemimpin UMNO.
Apa yang berlaku? Sungguh pun bukan semua dalam Internet betul, tetapi penulisan daripada Raja Petra (sebagai contoh) boleh diterima. Banyak bukti dan kenyataan beliau ada asas. Kami generasi pasca 1957 yang bukannya ahli totok UMNO akan terus mencari kebenaran dan biasanya boleh diperolehi daripada Internet. Kami tahu apa yang karut, dan apa yang betul. Dalam Internet tak ada penapisan jadi sebagai manusia yang diberikan fikiran kami buat penilaian dan tahu mana baik dan buruknya.
Kemuncak rasa tidak puas hati apabila Anwar Ibrahim diperlakukan dengan cara zalim. Sungguh pun aku tak pernah kenal Anwar dengan rapat dan dia pun tak peduli sapa aku, tetapi sebagai manusia berhati perut aku rasa perlakuan Mahathir kepada bekas Timbalan Perdana Menteri melampaui batasan kemanusiaan. Masa itu bukan soal kredibiliti tetapi kebencian yang amat sangat kepada Tun Mahathir. Dia mungkin hebat satu masa dulu, tetapi segalanya musnah kerana melampau dalam tindakannya.
Apabila Che Det bercakap tentang sejarah dan bebas daripada penjajahan, aku tidak terima hujah tu. Generasi aku inginkan kebebasan sebagai rakyat, untuk bersuara dan memilih pemimpin kami. Selagi pemimpin itu memahami aspirasi rakyat, bertindak adil dan segala institusi kerajaan tidak dipergunakan, kami boleh terima mereka. Pada kami, Malaysia telah bebas daripada penjajahan dan kami mahu terus bebas. daripada pemimpin yang korup.
mahathir, politik, sejarah BK Saturday, April 18, 2009 0 comments